”Pak su tak dapat pulang!”
“Habis, apa katanya lagi?”
“Pak su cuma kirim salam”
“Gila dia…!”
Bidin merenung ke muka Pak Seman. Wajah itu redup sebentar. Kemudian berkerut dahinya melakarkan
urat-urat hitam yang tua. Tiba-tiba pula airmatanya menitis. Bidin perlahan-lahan meninggalkan pelantar,
membiarkan Pak Seman keseorangan menanggung sebak. Pak Seman memandang ke arah Bidin yang semakin
jauh dari rumah. Diseka airmata di pipi dengan hujung jarinya.
Petang kian redup. Matahari sudah terlindung jauh di balik Bukit Kah. Tidak sampai tiga jam lagi waktu
berbuka. Beduk di Kampung Sena akan diketuk bertalu-talu. Pak Seman tidak akan berbuka di surau
dengan jemaah lain. Pak Seman sudah berjanji dengan isterinya akan berbuka di rumah. Leman akan pulang
berbuka di rumah hari ini. Itulah harapan Pak Seman sejak semalam. Sudah diminta Bidin menghubungi Leman
supaya segera pulang. Semalam Bidin juga menelefon Leman melalui telefon bimbitnya. Telefon itu hanya menerima
pesanan sahaja.
Leman tidak dapat menghubungi Pak Seman kerana tiada telefon di rumah. Memang Pak Seman sengaja
tidak mahu masukkan telefon, walaupun anak-anak yang lain seperti Mirah, Sadiah, Kimah dan Ipah
menyuruhnya pasang telefon. Apabila ada telefon, anak-anak tidak akan menjenguk selalu. Mereka hanya bertanya
khabar melalui telefon. Tidak ada telefon, atau ada telefon sama sahaja pada Pak Seman. Anak-anak perempuan
berempat itu tidak juga pulang menjenguknya. Pak Seman faham benar, mereka mungkin sibuk. Mereka ada suami
dan anak-anak. Suami mesti diutamakan dahulu. Selepas itu, barulah kedua-dua ibu dan bapa. Tapi, kedua-dua ibu
bapa pun tidak dipedulikan langsung. Seolah-olah mereka tidak ada ayah dan ibu lagi.
Leman adalah satu-satu anak lelaki yang bujang dan harapan ditanam kukuh kepada Leman untuk menjaga orang tua. Namun Leman pun dua kali lima dengan kakaknya yang lain. Apabila sudah bekerja di bandar dan jauh di mata, sudah
lupa ayah dan ibu yang sudah tua. Barangkali anak-anak sudah besar dan beristeri dan tidak layak tinggal di bawah ketiak ibu bapa. Masa kecil-kecil bolehlah menumpang tinggal di rumah orang tua. Apabila besar mula lupa akan tanggungjawab hendak menjaga ayah dan ibu.
“Leman akan jaga ayah dengan emak” itu kata Leman sebelum melangkah ke Universiti.
“Kalau kakak tak dapat jaga ayah dan emak, Leman ada, boleh jaga…!”
Manis sungguh cakap Leman ketika belum bekerja. Sedap hati Pak Seman mendengarnya. Sejuk perasaan
Pak Seman memikirkan janji anak lelaki seorang itu. Namun, apabila Leman dapat kerja, sebulan dua
rajin juga pulang ke kampung membawa ole-ole. Tinggallah Pak Seman dan Mak Munah di rumah buruk yang semakin
uzur. Pak Seman yang tua inilah ke hulu dan ke hilir menanam sayur di belakang rumah. Menjual sayur di kedai Pak Bai dengan mengayuh basikal untuk membeli beras, gula, lauk dan tembakau jawa.
Kadang-kadang Pak Seman berasa pilu mengenangkan anak-anak. Apalah dosa yang dilakukan terhadap anak-anak,
sampaikan tidak mahu menjenguk orang tua. Bukan dia meminta duit sebagai balasan kerana mendidik mereka.
Pak Seman tidak meminta dibelikan kereta besar atau peti televisyen. Jauh sekali untuk meminta duit bulanan
sebagai saraan hidup. Duit beribu pun ditimbun di hadapan mata, dia tidak akan menerima satu sen pun. Duit
bukan pengubat rasa rindu terhadap anak-anak. Seperti kasih sayang yang Pak Seman dan isterinya berikan
kepada mereka, cukuplah sekadar menjenguk sekali sebulan.
“Tergamak sungguh…” rengus Pak Seman.
“Dah dekat senja ni, bang…” Mak Munah bersuara sambil menoleh kepada Pak Seman. Dahi Pak Seman berkerut
panjang seolah-olah menanggung duka berat.
“Aku dah sembahyang Asar tadi” kata Pak Seman lirih, tanpa menoleh ke arah isterinya.
“Tak baik abang termenung sangat” kata Mak Munah duduk tidak jauh dari Pak Seman.
“Aku ingatkan Leman…” keluh Pak Seman
“Dia tak ingatkan kita” kata Mak Munah. Pak Seman menggigit bibir keringnya. Memang benar kata isteriku itu.
Anak-anak sudah tidak ingatkan ayah dan emak lagi. Untuk apa diingatkan mereka lagi. Bersusah payah memasak
untuk mereka berbuka.
“Saya selalu mendoakan mereka bahagia” kata Pak Seman dengan sebak.
“Saya tetap ingatkan mereka. Tapi mereka tak ingatkan kita….!”
Mak Munah melemparkan pandangan ke arah jalan. Nampak Bidin mengayuh basikal menghala ke kampung. Mak
Munah hendak berteriak memanggil Bidin, tetapi Bidin sudah jauh pergi dan hilang terus dari pandangan.
“Nanti ajak Bidin berbuka dengan kita” kata Mak Munah memandang Pak Seman.
“Budak tu baik..” kata Pak Seman.
“Rajin..” ujar Mak Munah.
Bidin tempat melepaskan resah dan rindu. Bidin tempat mereka menumpang untuk meminta apa juga pertolongan.
Budak itu ringan tulangnya. Sekali sahaja disuruh, sepuluh kalinya membantu. Untung Pak Jaki ada anak sebaik
Bidin. Walaupun Bidin bersekolah setakat darjah enam. Tetapi, Bidin nampak lebih bijak dan memahami perasaan
hati orang tua. Bersopan santun dan tahu menghormati orang yang lebih tua. Malah Bidin pun sudah dianggap
seperti darah daging sendiri. Pak Seman menoleh ke arah Mak Munah.
“Kadang-kadang saya fikir, tak perlu ada anak” luah Pak Seman.
Mak Munah tersentak dan memandang Pak Seman. Berkerut pula dahinya. Seingatnya, suaminya tidak pernah
berkata sedemikian keras. Ini sudah tentu, hati Pak Seman hangat.
“Mereka tu sibuk…” kata Mak Munah. Pak Seman berpaling
“Saya tahu mereka sibuk, dah jadi orang besar tapi tak kan saya suruh balik sekejap mereka tak boleh”
Mak Munah terdiam cuma.
“Jauh sangat tempat kita dengan bandar?” dengus Pak Seman geram.
“Mereka bukan jalan kaki. Mereka ada kereta. Bila-bila masa pun boleh balik”
Mak Munah hanya memandang.
“Mereka tu…!” Pak Seman pantas memuncung
“Saya tak pernah pukul mereka masa kecil dulu. Saya tak pernah tak bagi mereka makan. Apa yang mereka minta,
semua saya adakan. Saya timang mereka. Saya berikan mereka kasih sayang. Apa yang kurangnya?”
Mak Munah menoleh kepada Pak Seman, bibir Pak Seman bergerak-gerak. Halkumnya turun naik. Mak Munah
dapat merasakan yang suaminya benar-benar marah.
“Saya sediakan minuman dulu” kata Mak Munah bangkit dari duduk, tinggal Pak Seman sendirian.
“Jangan lupa panggil Bidin” ingat Mak Munah sebelum beredar ke dapur.
Pak Seman menghela nafas panjang, dadanya sebak. Dipandang ke arah jalan. Bagaikan ternampak kereta pacuan
empat roda milik Leman menderum. Itu bunyi derumnya, sahlah Leman sudah balik menjenguknya. Deruannya
semakin dekat dan kian dekat. Apabila Pak Seman memandang ke arah jalan, hanya dilihat sebuah lori pikap milik
Ah Guan yang lalu. Lori muatan tilam dan pokok bunga itu sering merayau-rayau di kampung menjelang hari raya.
Pak Seman mendengus kecil. Hari ini masuk hari kedua puluh tujuh umat Islam berpuasa. Tiga hari lagi umat
Islam akan menyambut Aidilfitri. Walaupun Aidilfitri sudah semakin dekat, tetapi Pak Seman tidak sibuk mencari
buluh lemang atau daun tapai. Malah sudah enam kali hari raya, Pak Seman menyambut dengan hati yang bengkak.
Sebelum itu, Pak Seman mencari buluh lemang. Kayu api diangkut dari hutan seminggu sebelum raya. Mak Munah
menyediakan lemang dan tapai, kerana anak-anak sangat sukakan hidangan itu. Petang menjelang hari raya, Pak
Seman sibuk membakar lemang dengan Bidin. Mak Munah sudah membuat tapai. Tiba hari raya, anak-anak seorang
pun tidak pulang. Mirah berhari raya di Melaka dirumah mertuanya. Sadiah beraya di Sabah di kampung halaman
suaminya. Kimah beraya di Kelantan dengan suami dan anak-anaknya. Begitu juga dengan Ipah awal-awal lagi
terbang ke Pulau Pinang dengan suami untuk beraya dengan mentua dan abang ipar. Leman yang diharapkan penyeri
dipagi raya bersama lemang dengan tapai. Sungguh mengejutkan hatinya, Leman berhari raya di Kedah bersama
dengan bakal tunangnya. Betapa hancur luluh perasaannya tidak tergambar dengan kata-kata.
Selepas hari raya, barulah anak-anak muncul di rumah. Apa ertinya kehadiran mereka selepas hari raya. Lemang
dengan tapai sudah dibuang ke dalam longkang. Sekalipun Mak Munah menjerit tapi kesedihan Pak Seman bukan
kepalang.
“Pak Seman nak air batu?” tiba-tiba suara Bidin mencerlus masuk ke telinga. Pak Seman tersentak lalu memandang
ke arah halaman.
“Ya, bagi pakcik” ujar Pak Seman gugup
“Kamu berbuka dengan pakcik di rumah”
Bidin memandang dengan mengangguk, tanpa lengah Bidin mengayuh basikalnya pulang. Serta merta bengkak dihati
jadi cair dan kerutan di dahi beransur-ansur hilang. Pak Seman menoleh ke sebelah Mak Munah mengesat airmata
dipipinya. Pak Seman melemparkan pandangan ke arah jalan sekilas.
“Bidin datang kejap lagi” kata Pak Seman.
Mak Munah mengukir senyum lebar. Dia memandang ke arah jalan dengan ceria. Itulah anak bukan daripada dagingnya
sebagai buah hati. Sayangnya tidak terkata lagi. Beberapa minit sebelum beduk dipalu. Bidin sudah berada dimuka
pintu membawa bingka dengan bubur lambuk. Mak Munah dan Pak Seman menyambut dengan senyum.
“Ayah dengan emak kirim salam” ujar Bidin. Pak Seman mengangguk dan menjawab salam dalam hati. Ketika membaca
doa, airmata Pak Seman bergenang. Bidin terkesan kelukaan hati Pak Seman. Sewaktu menjamah bubur lambuk, barulah
dada Pak Seman yang luka kembali sembuh. Bagaikan berbuka dengan Leman, Pak Seman berselera menghirup juadah.
Dua kali dia menambah bubur. Lauk nasinya pula sedap. Mak Munah memandang dengan hairan. Bidin yang berada
disebelah turut menoleh.
“Sembahyang dengan pakcik” kata Pak Seman, Bidin hanya mengangguk. Selepas wuduk, Pak Seman mula mengimamkan
sembahyang Maghrib. Selepas itu, dia berdoa dengan penuh khusyuk. Tidak lupa dipanjatkan dia, agar anak-anak bahagia
menghadapi hari-hari tua yang bakal menjelang.
“Mereka juga akan tua” terpacul kata-kata itu daripada bibir Pak Seman, Mak Munah hanya menoleh.
“Masa itu mereka tahu, macamana perasaan kita” kata Pak Seman lagi.
Bidin meminta diri pulang. Pak Seman duduk di pelantar, Mak Munah sibuk didapur mengemas piring dan makanan
berbaki. Selepas siap mengemas, Mak Munah membawa segelas kopi untuk Pak Seman. Lampu anjung dinyalakan
Sambil mengunyah baki kuih ditangan, Mak Munah duduk disisi suaminya. Dipandang ke arah jalan. Pak Seman
mencapai gelas kopi lalu meneguknya. Tiba-tiba Pak Seman terkesan bunyi deru enjin. Ada biasan cahaya lampu
kereta mencarak ke arah rumahnya. Dipandang ke arah Mak Munah dan memandang ke arah jalan. Siapa pula
yang berkunjung ke rumah selepas berbuka, fikir Pak Seman.
“Siapa bang..?” tanya Mak Munah.
Pak Seman merenung jauh, semakin dekat cahaya lampu datang. Deru enjinnya kian dekat dan ketika kenderaan
muncul di balik pokok pelam, Pak Seman hanya mengeluh.
“Leman…” ucap Mak Munah pula. Pak Seman memandang dengan wajah resah. Rokok dibibirnya disedut dalam-
dalam. Pandangannya tidak memberi apa-apa erti. Kehadiran kenderaan pacuan empat roda di halaman tidak pun
mengusik hati kecilnya. Kenderaan itu berhenti dan enjin dimatikan. Leman melompat turun dari pintu yang
dibuka. Berjalan ke pelantar dan Pak Seman semacam tidak kisah.
“Apa khabar ayah, mak..?” Leman menghulurkan tangan kepada Pak Seman.
“Kau sorang?” suara Pak Seman lirih dan seakan-akan tidak keluar. Leman menoleh ke kereta.
“Saya sibuk sikit tadi” kata Leman duduk di pelantar.
“Saya ingat nak balik hari raya ni tapi Bidin kata ada hal mustahak ayah suruh pulang”
“Ayah tahu, kau tak balik hari raya” kata Pak Seman merenung kejauhan.
“Sebab itu, ayah minta kau balik hari ini. Ayah minta Bidin telefon juga”
“Saya memang nak balik raya” tegas Leman
“Tiga hari lagi hari raya” kata Pak Seman, Mak Munah memandang ke arah suaminya.
“Macam-macam boleh terjadi.Kalau kau tak balik pun tak apa” kata Pak Seman seakan-akan merajuk.
“Tapi, ayah cuma nak pinjam duit sikit daripada kau…!”
“Pinjam duit…” Leman seakan-akan terkejut.
“Ayah perlukan duit, nanti emak gantikan balik…” kata Pak Seman.
Leman agak hairan sedikit, dipandang ke arah ayahnya tanpa berkelip.
“Ayah nak belikan papan…” ujar Pak Seman.
“Papan untuk apa…?”
Pak Seman menoleh ke arah Mak Munah sekilas.
“Papan untuk keranda ayah” tegas Pak Seman.
“Ayah nak beli papan keranda, kalau ayah mati. Senang nak kuburkan. Tak payah tunggu anak-anak balik
belikan papan”
Leman tersentak dan menggigit bibir. Serius benar ayah bercakap. Kata-kata ayah menyentak jantung.
“Tiga ratus sahaja…” kata Pak Seman…
Leman terpaku tanpa kata.
“Ayah nak hutang….” tegas Pak Seman.
Leman terkedu….. …….
sumber dari Noor Fhakurulzee

I really enjoyed reading your article, keep up creating such interesting posts!